Pages

Thursday 11 August 2011

Malam Kelapan dengan Afi: Yang laku tu, orang kaya macam ....

Aku pandang sebuah rumah banglo yang tersergam indah di hadapan mata. Aku senyum selebar yang mungkin. Kaki aku mula menapak masuk ke dalam. Mata aku terbutang luas melihat hiasan dalamannya. Aku lantas menghenyak punggung ke sofa yang empuk. Fuh! Kelegaan berganda.

"Afi!" Aku dengar ada suara memanggil aku. Aku berpaling ke arah suara yang memanggil. Aku nampak ada seorang lelaki berjalan dengan penuh gaya ke arah aku. Aku memberi senyuman segaris, SEGARIS sahaja.

"Dah lama sampai?" Lelaki itu bertanya ramah.

Aku menggeleng, "Baru aje. Sofa empuk kau ni pun tak panas lagi," aku memberitahu sambil menghulur tangan, bersalaman dengan lelaki tuan rumah.

Lelaki tuan rumah ketawa besar. Aku sekali lagi mempamer senyuman segaris. "Pandai kau buat lawak sekarang."

Aku senyum segaris lagi. Membuat lawak bukan bidang kepakaran aku. Aku hanya pandai menulis dengan kadar kelajuan yang tinggi sahaja. Itu istimewanya aku.

Aku kembali melabuhkan punggung di atas sofa yang empuk. Lelaki tuan rumah juga sudah mengambil tempat di hadapan aku. "Kau berhenti la kerja menulis ni, Afi," lelaki tuan rumah memberi nasihat.

Aku menggaru kepala. Aku ke mari kerana mahu menemu ramah lelaki tuan rumah. Tetapi, lelaki tuan rumah pula yang terlebih dahulu memancing aku untuk berbual ke arah lain.

"Setakat tulis kat blog, berapa sangat yang kau dapat, Afi. Admin kasi kau berapa aje?" Lelaki tuan rumah terus membuatkan aku rasa geram. Aku bukan nak banyak sangat pendapatan. Sebulan dapat dua tiga ratus untuk pelajar macam aku ni, okay apa. Bukan aku nak serius sangat pun. Lepas aku beli sebijik Smena 8M.

Aku menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan. Bertenang!

"Aku bukan apa. Aku kesian tengok kau. Umur kau dah lanjut juga, tapi masih tak ada pasangan."

Darah aku semakin menyirap. Ini tidak boleh jadi. Umur aku baru berapa tahun, belum masuk kategori tak laku lagi tau!

"Kau tahu sebab apa kau tak ada pasangan lagi?"

Aku menarik nafas, menghembuskannya perlahan dan memberi senyuman segaris.

"Kau setakat kerja menulis kat Pillow Talk dengan gaji yang tak seberapa tu, siapa yang nak? Silap-silap hari bulan, duit makan pun tak lepas. Sebab tu kau tak laku."

Aku menggigit bibir. Aku tahu kerja aku ini tidaklah membuatkan aku jadi orang yang kaya. Aku juga tahu lelaki tuan rumah hanya mahu bergurau senda dengan aku. Aku tak kisah.

"Yang laku tu, orang kaya macam AKU."

Yang ini aku tak boleh bersabar lagi. Aku angkat punggung dan meninggalkan rumah banglo itu. Lelaki tuan rumah kelihatan terpinga-pinga.

"Afi, kau kata nak interview aku."

Aku terus berjalan ke hadapan, langsung tidak berpaling.

"Terlepas peluang aku nak masuk blog Pillow Talk."

Aku dengar lelaki tuan rumah berkata. Aku melangkah dengan kelajuan maksimum hingga ke hujung jalan. Aku melepaskan ketawa.

p/s: Kau provok aku pun, kau masuk blog Pillow Talk. Aku tak kaya, tapi aku baik.